◉ HEADLINES

Nik Nazmi bidas Hadi, ‘hari ini cakap lain, esok cakap lain’

Menurutnya, Hadi tidak konsisten dalam tindakannya kerana mengarahkan ahli PAS menagih undi bukan Islam yang pernah dilabel sebagai perosak negara

11:14 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengkritik Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak konsisten dalam tindakannya apabila mengarahkan ahli PAS untuk menarik undi bukan Islam menerusi ucapannya dalam Muktamar Tahunan PAS.

Menurutnya, tindakan Presiden PAS itu ibarat hari ini cakap lain, esok cakap lain kerana menagih undi bukan Islam yang sebelum ini dilabelkan beliau sebagai perosak negara.

Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengkritik Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak konsisten dalam tindakannya. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 21 Oktober, 2023

“Membaca ‘amanat’ terbaru Hadi mengingatkan saya tentang tomahan beliau terhadap pengundi bukan Melayu.

“Pada Ogos tahun lepas, beliau mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan kumpulan ‘majoriti’ menjadi perosak politik dan ekonomi negara.

“Nampaknya Hadi sedang menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah beliau label sebagai perosak negara. Sejak dari dulu, Hadi terkenal dengan sikap tidak konsisten dalam berkempen. Hari ini cakap lain, esok cakap lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Hadi mengarahkan ahli PAS untuk bekerja keras dalam mendekatkan pengundi bukan Islam dengan parti itu, seterusnya meraih sokongan dan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, ini selaras dengan dapatan bedah siasat PRU ke-15 (PRU-15) lalu mendapati antara kelemahan parti tersebut adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam.

Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika berucap di majlis Perasmian Muktamar PAS yang berlangsung di IDCC, Shah Alam, semalam. – Gambar Alif Omar/Scoop, 21 Oktober, 2023

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, untuk menggerakkan Malaysia ke hadapan, semua kaum dan agama perlu dilibatkan dalam proses pembinaan negara.

“PKR sebagai parti berbilang kaum tidak pernah melabel mana-mana kaum sebagai perosak negara.

“Saya percaya dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Perpaduan. Ia akan memberikan keyakinan kepada semua pengundi tanpa mengira kaum dan agama untuk terus menyokong kerajaan ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi menzahirkan kekecewaan terhadap Hadi yang secara sinis mendakwa kerajaan Madani tidak dapat disucikan lagi kerana dikelilingi bekas banduan dan perasuah.

Tegasnya, kenyataan Hadi sewaktu Muktamar Tahunan PAS semalam itu secara jelas menunjukkan beliau selaku seorang agamawan tidak mencerminkan nilai sebenar diterapkan Islam.

“Sebagai seorang agamawan, Hadi seharusnya menguar-uarkan nilai kebersamaan, kesatuan dan kekitaan.

“Hal ini kerana agama Islam tersebar melalui penyatuan manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang,” katanya.

Susulan itu, beliau berpendapat, setiap pemimpin haruslah bersifat sederhana dalam berpolitik dan tidak memecah-belahkan umat, melontarkan fitnah dan mengadu domba.

“Jangan hanya kerana kita mengenakan kopiah di atas kepala dan mengemudi parti yang tertera nama Islam, kita merasakan seolah-olah pihak lain tidak suci mahupun tidak ‘Islam’ sepenuhnya.

“Hanya Allah SWT yang layak untuk menilai kesucian seseorang. Sebagai agamawan, beliau sepatutnya memahami lebih mendalam perihal ini,” katanya. – 21 Oktober, 2023

Topics

 

◉ Hangat

No plans to scrap RON95 subsidies for T20 group for now : Loke

The government has no immediate plans to remove RON95 fuel subsidies for high-income earners, with Transport Minister Anthony Loke saying the Budi95 system will remain in place as Putrajaya prioritises a simpler and more efficient subsidy mechanism

PM Term Limit Bill falls two votes short in Dewan Rakyat, sparks disappointment among Madani MPs

The proposed constitutional amendment to cap the prime minister’s tenure at 10 years failed to secure a two-thirds majority in the Dewan Rakyat, drawing sharp reactions from leaders within the Madani coalition who described the outcome as a missed opportunity for institutional reform

Next FAM chief must ‘work 100 times harder’ to drive reforms: Hamidin

Incoming Football Association of Malaysia president must go beyond football knowledge and commit to governance and structural reforms

◉ Related