◉ HEADLINES

Bakal pengantin tidak mengaku salah cederakan warga emas

Peguam tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan

11:34 AM MYT

 

SEPANG – Seorang lelaki yang dijadual melangsungkan perkahwinan minggu depan, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan seorang warga emas, pada 30 Januari lalu.

Mohammad Zakaria Mohd Razali, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Zakaria yang merupakan seorang peniaga, didakwa menyebabkan cedera parah terhadap seorang warga emas berusia 73 tahun, di Jalan PP 2/5, Taman Putra Prima di sini, antara pukul 9 dan 9.20 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi memohon jaminan RM10,000 dikenakan bagi pertuduhan tersebut.

Peguam tertuduh, Fazilawati Hussin memohon supaya jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan perlu menanggung pengajian dua orang adik serta kos perubatan ibunya yang menghidap penyakit hati dan darah tinggi.

“Anak guam saya merupakan anak keenam dari sembilan beradik. Ayahnya telah meninggal dunia 10 tahun lepas.

“Dia juga akan melangsungkan perkahwinan pada 17 Februari ini di Kelantan, di mana beliau perlu berada di kampung secepat mungkin untuk membuat persiapan bagi majlis yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Hari ini tunangnya hadir untuk jamin,” katanya.

Majistret Muhammad Bukhori menetapkan 18 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan berkenaaan dan dikenakan syarat tambahan iaitu tidak menganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Pada 30 Januari lepas, tular di media sosial seorang warga emas yang juga pesara dipukul seorang lelaki tanpa sebab sambil mengeluarkan kata-kata kesat di Puchong Prima ketika mangsa dalam perjalanan dari Brickfield, Kuala Lumpur ke Putra Perdana untuk berjumpa kawan.

Mangsa kemudian dikatakan meneruskan perjalanan, namun suspek mengekori keretanya dan apabila tiba di Putra Perdana, suspek menyekat kereta mangsa sebelum menarik warga emas itu keluar serta menumbuknya di bahagian mata selain menendangnya bertubi-tubi.

Warga emas itu kemudian ditinggalkan di lokasi tersebut sebelum ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa bengkak di kepala, lebam di bahagian mata kiri, patah tulang pipi kiri serta patah di bahagian bawah tulang mata kiri. – 9 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Songlap tuntutan HSP guna data pencarum, Perkeso jerat pengarah klinik di Lahad Datu

Penahanan suspek oleh SPRM susulan risikan dalaman Perkeso sejak 2023 yang membongkar penipuan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta

Jangan sampai tahap ekstrem’: Azalina bidas label ‘dajal’ Hadi Awang terhadap CSA

Menteri Undang-Undang tegur Presiden PAS jaga adab berpolitik susulan kecaman keras terhadap pemeteraian pakatan kestabilan dan pembaharuan institusi Kerajaan Madani bersama blok pembangkang

Democrats seize control of Congress in crushing midterm blow to Trump

Voters turn against Republicans over rising living costs, Iran war and corruption concerns, setting the stage for two years of political gridlock

◉ Related