◉ HEADLINES

Konsortium diterajui syarikat Malaysia cadang ambil alih MAHB pada RM18.4 bilion

Konsortium juga menegaskan bahawa tidak ada sebarang rancangan untuk memberhentikan pekerja dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi susulan daripada tawaran ini

9:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) dan para pemegang sahamnya (Konsortium) hari ini mengumumkan hasrat untuk mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada RM11 sesaham, mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion.

Tawaran ini dikemukakan setelah memenuhi prasyarat termasuk kelulusan daripada pihak berkuasa di Turkiye, Arab Saudi, Mesir dan Malaysia seperti dimaklumkan menerusi Pengumuman Tawaran Prasyarat bertarikh 15 Mei 2024.

Dalam satu kenyataan bersama, ia berkata Konsortium dan syarikat induk mereka secara agregat memiliki 41.1% daripada saham MAHB yang diterbitkan setakat 15 November, 2024, iaitu tarikh notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat dikeluarkan.

Konsortium ini diterajui oleh dua syarikat Malaysia, UEM Group Berhad (UEM Group) iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd dan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pemegang saham Konsortium ini juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), satu daripada pelabur infrastruktur terkemuka sedunia.

Selepas penerimaan tawaran sepenuhnya, pegangan UEM Group dalam MAHB meningkat daripada 32.99% kepada 40%, dan pegangan KWSP pula meningkat daripada 7.86% kepada 30%.

“Ini bermakna para pelabur Malaysia secara bersama akan memiliki 70% pegangan dalam MAHB. Baki 30% pegangan pula akan dimiliki oleh ADIA dan GIP,” kata kenyataan itu.

Ia berkata Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB, dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan MAHB akan terus dilantik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia yang dikendalikan oleh MAHB akan terus dimiliki oleh Kerajaan Malaysia, seperti termaktub di bawah perjanjian pengoperasian yang ditandatangani MAHB, dan akan terus dikawal selia oleh pelbagai agensi kerajaan termasuklah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Konsortium juga menegaskan bahawa tidak ada sebarang rancangan untuk memberhentikan pekerja dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi susulan daripada tawaran ini.

Tawaran ini adalah tertakluk kepada penerimaan yang sahih iaitu Konsortium, termasuk dengan saham yang sudah dimilki, perlu memiliki sekurang-kurangnya 90% saham MAHB yang diterbitkan pada atau sebelum tawaran ini ditutup.

“Konsortium berhasrat untuk meletakkan MAHB di landasan terbaik bagi pertumbuhan mampan jangka masa panjang, dengan menumpukan kepada penyelenggaraan dan usaha menaiktaraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambahbaik keterhubungan syarikat penerbangan yang akan meningkatkan pertumbuhan trafik.

“Ini sekaligus akan memberikan manfaat ekonomi berpanjangan kepada MAHB dan para pemegang taruhnya, serta sektor ekonomi utama di Malaysia dan Turkiye,” katanya. – 15 November, 2024

Topics

 

◉ Hangat

No plans to scrap RON95 subsidies for T20 group for now : Loke

The government has no immediate plans to remove RON95 fuel subsidies for high-income earners, with Transport Minister Anthony Loke saying the Budi95 system will remain in place as Putrajaya prioritises a simpler and more efficient subsidy mechanism

PM Term Limit Bill falls two votes short in Dewan Rakyat, sparks disappointment among Madani MPs

The proposed constitutional amendment to cap the prime minister’s tenure at 10 years failed to secure a two-thirds majority in the Dewan Rakyat, drawing sharp reactions from leaders within the Madani coalition who described the outcome as a missed opportunity for institutional reform

Next FAM chief must ‘work 100 times harder’ to drive reforms: Hamidin

Incoming Football Association of Malaysia president must go beyond football knowledge and commit to governance and structural reforms

◉ Related