◉ HEADLINES

Kes saman Tun M terhadap Anwar akan didengar hakim baharu

Pihak terbabit akan hadir di hadapan hakim baharu pada 18 Ogos bagi pengurusan kes dan penetapan tarikh bicara

12:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hakim baharu akan dilantik bagi membicarakan kes saman fitnah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu dalam Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Perlaksanaan Sebuah Idealisme’.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi, yang mewakili Anwar, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain, yang dijadual mempengerusikan prosiding pada minggu hadapan, telah memaklumkan pihak-pihak yang terlibat mengenai perkara itu.

“Beliau memberitahu kami bahawa seorang hakim baharu akan ditugaskan mengambil alih kes ini dan menetapkan tarikh perbicaraan,” kata Benjamin kepada media selepas pengurusan kes semalam, lapor FMT.

Sebelum ini, Zaharah telah menetapkan 18 hingga 20 Ogos sebagai tarikh perbicaraan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Tun M, mengesahkan bahawa pihak berkenaan akan hadir di hadapan hakim baharu pada 18 Ogos.

“Tarikh perbicaraan pada 19 dan 20 Ogos masih kekal dan belum dikosongkan,” katanya.

Zaharah merupakan hakim kedua ditugaskan mengendalikan kes itu, susulan penarikan diri Hakim Jamhirah Ali disebabkan ikatan kekeluargaan dengan seorang daripada peguam kes.

Bekas Perdana Menteri itu mengemukakan saman terhadap Anwar berhubung kenyataan yang didakwa merujuknya sebagai rasis dan mendakwa beliau memperkayakan keluarganya semasa memegang jawatan.

Dalam dokumen yang difailkan pada 3 Mei 2023, beliau memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan berkenaan.

Tun M turut berkata kenyataan Anwar dibuat atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan, oleh itu, ia mempunyai kesan yang jauh lebih buruk terhadapnya, berbanding kenyataan serupa dibuat rakyat biasa.

Beliau berkata, kenyataan tersebut bertujuan mencalar imej awamnya memandangkan ia telah ditonton dan didengar pelbagai lapisan masyarakat.

Tambah beliau, dakwaan tersebut telah menghakis statusnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.

Mahathir turut menuntut Anwar menarik balik semua kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan menyiarkan penarikan balik itu di media arus perdana serta media sosial.

Beliau juga menuntut Anwar memohon maaf tanpa syarat serta tidak mengulangi kenyataan sama atau seumpamanya. – 12 Ogos, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Mahkamah benarkan rayuan Badan Peguam cabar DNAA Zahid

Panel tiga hakim memutuskan permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang remeh namun menimbulkan isu yang boleh dibicarakan yang wajar didengar pada peringkat substantif

Early start for Abang Bas in Putrajaya

When most Malaysians are getting some shut-eye before attending the National Day 2023 celebration at Dataran Putrajaya today, bus driver Mohammad Saudi Abd Sahiis is eagerly on the road to ferry passengers to the venue.

Remembering Tun Samy Vellu: a minister who listened and acted – Ravindran Raman Kutty

The writer reminisces about the late Works Minister's work ethic on what would have been his 89th birthday

◉ Related