◉ HEADLINES

Lima Ahli Parlimen PN teruskan saman perjanjian ART Malaysia-AS

Saman diteruskan walau Mahkamah Agung AS batalkan tarif Trump

12:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) meneruskan cabaran undang-undang terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS (ART), walaupun Mahkamah Agung AS bulan lalu membatalkan tarif Donald Trump sebagai tidak sah.

Peguam S Karthigesan yang mewakili Ahli Parlimen terbabit berkata perkara itu dimaklumkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Firdaus Sidqi Sharil Azli, semasa pengurusan kes minggu lalu.

“Saman kami bukan semata-mata akademik kerana kami mahu mahkamah menentukan proses perlembagaan yang betul,” katanya memetik FMT.

Peguam Persekutuan Zulkiefli Sulaiman mewakili kerajaan. Firdaus meminta penjelasan mengenai pendirian plaintif — Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Awang Hashim (Pendang), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Abdul Khalib Abdullah (Rompin) — susulan keputusan Mahkamah Agung AS.

Karthigesan berkata kelima-lima Ahli Parlimen masih mahu permohonan mereka dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk didengar. Beliau menegaskan isu utama ialah sama ada Kabinet mempunyai kuasa menandatangani perjanjian antarabangsa tanpa kelulusan Parlimen.

“Ia masih merupakan persoalan perlembagaan baru yang memerlukan keputusan penghakiman yang mengikat,” katanya.

Beliau berkata penjelasan juga diperlukan mengenai Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kapasiti undang-undang Persekutuan mengenai harta, kontrak dan prosiding undang-undang.

Kelima-lima plaintif memfailkan permohonan mereka di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan pula telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.

Pengurusan kes seterusnya dijadualkan di hadapan Hakim Amarjeet Singh pada 4 Mei.

Ahli Parlimen PN memfailkan writ permulaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Januari bagi mencabar perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia dan AS pada Oktober lalu. Mereka menamakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Peguam Negara dan kerajaan sebagai defendan.

Plaintif berhujah Anwar tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk mengikat Persekutuan kepada perjanjian tersebut. Mereka menuntut pengisytiharan bahawa Perdana Menteri dan kerajaan gagal menunaikan tanggungjawab perlembagaan secara kolektif, dan bahawa Peguam Negara gagal memberikan nasihat yang betul mengenai syarat perlembagaan sebelum Malaysia boleh terikat secara sah.

Plaintif juga menuntut pengisytiharan bahawa perjanjian perdagangan itu tidak sah dan terbatal.

Pada 4 Nov tahun lalu, Anwar berkata kerajaan telah berunding dengan Pejabat Peguam Negara untuk memastikan ART mematuhi perlembagaan.

“Input Pejabat Peguam Negara diambil untuk memastikan peruntukan ART tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang domestik,” katanya. – 25 Mac, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Songlap tuntutan HSP guna data pencarum, Perkeso jerat pengarah klinik di Lahad Datu

Penahanan suspek oleh SPRM susulan risikan dalaman Perkeso sejak 2023 yang membongkar penipuan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta

Democrats seize control of Congress in crushing midterm blow to Trump

Voters turn against Republicans over rising living costs, Iran war and corruption concerns, setting the stage for two years of political gridlock

As horror stories unfold, Malaysia leads Asean crackdown on Myanmar job scams

Victims report being electrocuted, beaten up, tortured, and barely compensated after they were tricked into what former Thai PM calls a syndicate for ‘dirty money’ to finance conflict

◉ Related