◉ HEADLINES

PMX tular muncul ala ‘Thalaivar’ gaya hero filem Tamil dalam ucapan Deepavali

Penampilan bersahaja Perdana Menteri sebagai ‘Thalaivar’ bukan sekadar mencuit hati, malah titipan nasihatnya menyentuh sanubari anak muda agar pulang memeluk ibu selagi masa masih mengizinkan

10:47 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Berdiri di tepi jalan dengan bateri kereta yang mati mungkin situasi menjengkelkan bagi sesiapa sahaja, namun detik malang buat pencipta kandungan Devaraj David itu bertukar menjadi antara babak perayaan paling menyentuh hati di media sosial musim ini.

Segalanya bermula dengan rungutan biasa seorang anak bujang. Dalam panggilan telefon bersama ibunya, Devaraj memberi pelbagai alasan untuk tidak pulang beraya ke kampung gara-gara rimas diasak soalan lazim: Bila hendak kahwin?.

Secara tiba-tiba, muncul figura berkarisma dengan lagak seorang ketua atau ‘Thalaivar’—tidak lain tidak bukan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melihat pemuda itu merungut sendirian, Anwar menyapa dengan tenang, bertanyakan punca kekusutan di wajahnya.

“Thalaivar, Amma saya sikit-sikit call, ‘Balik, balik, balik, balik! Kahwin, kahwin! Deepavali, Deepavali!’” luah Devaraj bersahaja, mengadu desakan ibunya.

Merenung mata pemuda berkenaan, Anwar menitipkan kata-kata jujur dari lubuk hatinya yang meruntun emosi, mengingatkan nilai seorang ibu yang tiada galang gantinya.

“Dei tambi, Amma ini yang kasih, yang cinta dengan you. You masih ada Amma, sayang dia. Saya sudah tak ada Amma,” luah Anwar dengan nada sebak namun penuh kelembutan.

Mengaitkan erti pesta cahaya dengan kemesraan sebuah keluarga, Perdana Menteri menambah:

“Tolong kasih peluk, sayang Amma. Deepavali ini ‘Light of The Lamp’… balik rumah cium Amma, tunjuk kasih dan jadi anak baik. Jadi, pergi balik sekarang.”

Mendengar nasihat yang menusuk kalbu itu, ego si anak bujang terus luntur. Devaraj akur sambil berjanji akan segera pulang ke dakapan ibunya.

“Okay, Thalaivare. Ini Deepavali, saya balik rumah, cium Amma, tunjuk kasih dan jadi anak yang baik,” katanya penuh insaf.

Tirai sketsa dilabuhkan apabila kedua-duanya berjalan beriringan ke kereta, sempat bergurau senda sebelum Anwar menitipkan ucapan penuh bermakna: “Deepavali Nalvaazhthukkal.”

Video berdurasi dua minit 23 saat yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @thedavids21 itu mencetuskan fenomena apabila meledak dengan lebih 1 juta tontonan dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Ia turut dikongsi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan di akaun TikTok miliknya @ybmdsrr_.

Rata-rata warga maya membanjiri ruangan komen memuji pendekatan santai pemimpin nombor satu negara itu, malah tidak kurang yang melabelkannya sebagai video perayaan paling berkesan dan ‘epik’ tahun ini kerana berjaya membawa mesej kekeluargaan yang tulus. – 7 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Ex-TH Properties deputy GM charged with CBT abetment

In yet another case uncovered from the Tabung Haji RCI, the accused is found to have colluded with another manager from a subsidiary and an agent to misappropriate funds related to a building project owned by the pilgrims’ fund.

Mahkamah benarkan rayuan Badan Peguam cabar DNAA Zahid

Panel tiga hakim memutuskan permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang remeh namun menimbulkan isu yang boleh dibicarakan yang wajar didengar pada peringkat substantif

Early start for Abang Bas in Putrajaya

When most Malaysians are getting some shut-eye before attending the National Day 2023 celebration at Dataran Putrajaya today, bus driver Mohammad Saudi Abd Sahiis is eagerly on the road to ferry passengers to the venue.

◉ Related