◉ HEADLINES

OCR-VA digunakan SPR pada PRN Melaka tidak jejas kerahsiaan pengundi, masa mengundi

Azmi berkata pemerhatian setakat ini mendapati OCR-VA adalah ringkas, tepat dan mudah difahami

1:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penggunaan Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) tidak memberi sebarang kesan terhadap kerahsiaan undi mahupun tempoh masa yang diambil pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom, pemerhatian setakat ini mendapati OCR-VA adalah ringkas, tepat dan mudah difahami.

Ia juga, katanya, tidak menyukarkan petugas pilihan raya untuk mengendalikannya.

SPR katanya, berharap agar orang ramai serta semua pemegang taruh dapat menerima pelaksanaan sistem berkenaan secara positif sebagai satu usaha berterusan untuk memperbaiki dan mempermodenkan sistem pengundian negara.

“Setakat ini kita lihat sistem ini adalah satu sistem di mana petugas pilihan raya kena biasakan diri, tetapi bukanlah susah sangat. Setahu kami, mereka pun tidak mendapati bahawa sistem ini terlalu mengelirukan atau rumit. Sistem ini agak ringkas dan tepat.

“Jadi kita akan teruskan. Ini satu daripada usaha untuk mempermodenkan lagi sistem pengundian kita, dan saya rasa ia tidak ada kesan atau tidak ada kesan langsung kepada kerahsiaan undi kita,” katanya, lapor Bernama.

Azmi berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau semakan isi peti undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Politeknik Merlimau, di Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata SPR meneruskan penggunaan sistem tersebut kerana keupayaannya mengumpul serta memaparkan data kehadiran pengundi secara masa nyata di laman sesawang suruhanjaya itu, berbanding kaedah sebelum ini yang dikemas kini setiap satu jam.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pengundi membuat semakan pusat mengundi serta saluran masing-masing lebih awal menerusi MySPR Semak sebelum hadir ke pusat mengundi esok bagi mengelakkan kesilapan lokasi.

Bagi pengundi yang tidak mempunyai capaian internet, Azmi berkata mereka boleh hadir lebih awal dan membuat semakan di barung semakan SPR yang disediakan di luar pusat mengundi. – 13 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Songlap tuntutan HSP guna data pencarum, Perkeso jerat pengarah klinik di Lahad Datu

Penahanan suspek oleh SPRM susulan risikan dalaman Perkeso sejak 2023 yang membongkar penipuan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta

Jangan sampai tahap ekstrem’: Azalina bidas label ‘dajal’ Hadi Awang terhadap CSA

Menteri Undang-Undang tegur Presiden PAS jaga adab berpolitik susulan kecaman keras terhadap pemeteraian pakatan kestabilan dan pembaharuan institusi Kerajaan Madani bersama blok pembangkang

Democrats seize control of Congress in crushing midterm blow to Trump

Voters turn against Republicans over rising living costs, Iran war and corruption concerns, setting the stage for two years of political gridlock

◉ Related