MELAKA – Kekurangan upaya fizikal bukan penghalang buat pasangan kembar wanita kerdil berusia 63 tahun untuk hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.
Lau Song Kiow dan Lau Song Ghi, yang masing-masing berketinggian kira-kira 80 sentimeter, hadir bersama-sama ke pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, di sini pada 10.15 pagi tadi dan menyifatkan pengalaman mengundi sebagai sesuatu yang menggembirakan.
Kedua-dua warga emas itu merupakan pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.
Song Kiow berkata dia sudah beberapa kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan berasa gembira kerana masih berpeluang melaksanakan tanggungjawab itu, kali ini.
Dia dan pasangan kembarnya berharap kerajaan yang bakal dibentuk dapat menjaga kebajikan rakyat serta memastikan kehidupan masyarakat menjadi lebih baik.
“Kami mahukan kerajaan yang lebih baik. Sesiapa pun yang akan jadi (wakil rakyat) tidak kisah, asalkan mereka mahu menjaga rakyat, mahu menjaga kami,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi itu, hari ini.
Song Kiow turut berharap kerajaan baharu dapat memberikan lebih perhatian kepada kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya dalam memastikan keperluan dan hak mereka terus terbela.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 675,166 pengundi layak menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 28 kerusi DUN, hari ini. – 14 November, 2026
