◉ HEADLINES

Juruterbang layak lakukan penerbangan, tiada bukti ketidakupayaan: Laporan awal nahas Elmina

Laporan turut menyebut kemalangan dan korban tidak boleh dielakkan kerana magnitud daya nyahpecutan serta kebakaran selepas kemalangan

10:32 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Laporan awal kemalangan udara pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas dan mengorbankan 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, mendapati juruterbang pesawat mempunyai lesen dan layak melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.

Laporan awal itu yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pagi ini, turut mendapati kejadian berlaku pada siang hari dengan penglihatan jelas dan keadaan meteorologi baik.

Selain itu, dapatan mendapati tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan.

Laporan turut menyebut kemalangan dan korban tidak boleh dielakkan kerana magnitud daya nyahpecutan serta kebakaran selepas kemalangan.

Tambah MOT, penemuan tambahan akan dilampirkan dalam laporan akhir yang selesai selewat-lewatnya Ogos tahun hadapan.

“Ia selaras dengan Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan itu untuk melengkapkan dokumen tersebut,” katanya.

Menurut laporan berkenaan, analisis awal kotak perakam suara kokpit (CVR) yang pulih memberikan petunjuk kritikal kepada mendedahkan punca kemalangan itu, dengan tumpuan diberikan terhadap sistem kawalan penerbangan pesawat.

“Keputusan pemeriksaan bahagian pesawat yang berkaitan serta komponen di makmal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan pengilang peralatan asal (OEM), diperlukan untuk menyediakan kolaboratif dan bukti konklusif dalam menentukan punca kemalangan,” katanya.

Dalam insiden pada jam 2.50 petang itu, 10 individu disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1, terhempas berhampiran kawasan perumahan Bandar Elmina, Shah Alam.

Lapan daripada individu terbabit adalah penumpang, selain dua kru pesawat, seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Tragedi itu turut mengorbankan Exco Kerajaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun. – 15 September, 2023

Topics

 

◉ Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Controversial KLIA video: Shuhaily says he is ready to ‘pay with myself’

AKPS chief says the government and Home Ministry have been informed of the incident

“Sampaikan, jangan diam”: Veteran PKR desak kerajaan Anwar ‘jual’ kejayaan agenda reformasi

Dua tokoh veteran PKR, Tian Chua dan Tan Sri Dr Xavier Jayakumar mengingatkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak membisu mengenai kejayaan agenda reformasi, sekali gus menghentikan naratif negatif yang mendakwa tiada sebarang perubahan berlaku

◉ Related