◉ HEADLINES

Muda keluarkan laporan audit bantuan banjir 2021 yang jadi pertikaian bulan depan

Laporan audit yang tertangguh itu antara salah satu punca di sebalik peletakan jawatan ahli partinya baru-baru ini

9:44 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Laporan audit program bantuan banjir Muda 2021, yang menjadi pertikaian dalam kalangan bekas dan ahli parti itu, dijangka dikeluarkan bulan depan.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, proses audit sudah mencapai fasa terakhir, membolehkan laporan itu didedahkan pada Mac.

“Saya dimaklumkan proses (audit) sudah sampai ke peringkat akhir.

“Ia sepatutnya dikeluarkan pada bila-bila masa dan Muda sedang cuba menolak tarikh laporan itu kepada Mac,” katanya ketika melawat pejabat Scoop di sini, semalam.

Bagaimanapun, Amira berkata, beliau tidak boleh menjanjikan tarikh yang tepat kerana audit itu ketika ini tidak berada di tangan parti.

Minggu lalu, beberapa bekas pimpinan Muda yang meletak jawatan dalam parti baru-baru ini, memberitahu Scoop bahawa mereka bertindak sedemikian kerana kegagalan parti menghasilkan laporan audit mengenai dana yang dikumpul untuk bencana banjir pada Disember 2021, selain isu lain dengan kepimpinan.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Amira berkata, semua maklumat mengenai audit telah dimaklumkan kepada ahli parti melalui mesyuarat dan memo dalaman, sambil menambah penjelasan itu mungkin sudah disalahertikan.

“Bagi mereka (bekas ahli) yang mempersoalkan (audit), entah bagaimana komunikasi hilang dalam terjemahan.

“Beberapa ahli yang meninggalkan parti memang menghadiri salah satu taklimat yang saya ada. Mereka bertanya soalan mengenai audit, dan (soalan) mereka dijawab. Tiada soalan susulan,” katanya.

Sambil menunjuk kepada artikel Scoop, Amira berkata, bekas ahli Muda tersalah tafsir situasi mengenai proses audit itu.

Amira, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeris (Adun) Puteri Wangsa berkata, proses pengauditan bermula pada hujung 2022, apabila mereka bertemu firma pengauditan selepas projek bantuan banjir terakhir parti itu pada 2021 di Hulu Langat.

“Selepas keseluruhan rumah dibina, kami memulakan proses audit memandangkan projek itu akan tamat pada hujung 2022,” katanya.

Jelas Amira, proses audit mengambil masa selama setahun, memandangkan pihaknya sibuk dengan projek bantuan banjir.

Beliau berkata, Muda belum kukuh apabila banjir 2021 melanda, maka pihaknya menjalankan program itu bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu berbeza memandangkan parti itu tidak mempunyai akaun bank sendiri.

Mengenai peletakan jawatan beramai-ramai ahli Muda, Amira berkata, parti itu meraikan demokrasi dan menjadi hak mereka untuk meninggalkan parti.

“Sebagai pemangku presiden, saya lebih suka jika ahli tidak keluar parti langsung, tetapi jika ada rasa tidak puas hati, kami tidak menutup pintu untuk mereka bertanya (kami) apa-apa,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa jumlah ahli yang kekal dalam parti jauh melebihi mereka yang keluar, kerana mereka sudah mendengar penjelasan yang diberikan berhubung audit.

Tambahnya, parti itu tidak mengawal keputusan setiap ahli.

“Kami (parti) memang menganggap ia (peletakan jawatan) sebagai sesuatu yang sangat serius untuk ditangani selepas sebahagian daripada mereka meletak jawatan.

“Saya memang menghubungi orang yang masih mempunyai kebimbangan dan bercakap dengan mereka. Itu sudah menjadi amalan kami. Saya berharap dapat menjawab kebimbangan dan soalan mereka yang masih dalam parti,” katanya. – 22 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Songlap tuntutan HSP guna data pencarum, Perkeso jerat pengarah klinik di Lahad Datu

Penahanan suspek oleh SPRM susulan risikan dalaman Perkeso sejak 2023 yang membongkar penipuan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta

Democrats seize control of Congress in crushing midterm blow to Trump

Voters turn against Republicans over rising living costs, Iran war and corruption concerns, setting the stage for two years of political gridlock

F1 is more than racing: Why Malaysia must bring the sport back to Sepang – Zainul Arifin

Petronas’ global branding success shows how Formula 1 can deliver international exposure, strengthen corporate brands and generate economic benefits, making a compelling case for Malaysia to revive the sport at Sepang

◉ Related