◉ HEADLINES

Isu dibangkit laporan Bank Dunia telah, sedang ditangani KPM: Fadhlina

KPM juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi reformasi pendidikan negara termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum untuk menangani keciciran

3:50 PM MYT

 

SERDANG – Isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Bank Dunia berkenaan sistem pendidikan negara sebenarnya telah ditangani Kementerian Pendidikan (KPM) secara progresif dan proaktif, menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata KPM juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi reformasi pendidikan negara termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum untuk menangani keciciran pembelajaran.

“KPM telah lebih awal mengumumkan reformasi pendidikan, pertamanya dengan penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti isu-isu dan melaksanakan reformasi ini dengan segera.

“Sebagai contoh, jawatankuasa peluasan prasekolah telah kita laksanakan dan 2023 dan 2024 adalah tahun peluasan prasekolah di institusi KPM secara besar-besaran,” katanya kepada pemberita selepas memberikan syarahan pada program Distinguished Lecture Series on Youth Well-Being (DLS) di sini hari ini.

Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills antara lain menyatakan walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan kepada sektor pendidikan negara, tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar masih jauh ketinggalan.

Dalam pada itu Fadhlina berkata KPM telah mengadakan siri libat urus dengan pihak berkepentingan berkaitan masa depan pendidikan di Malaysia antaranya membincangkan mengenai kerangka kurikulum persekolahan 2027.

“Siri libat urus ini bagi menjawab persoalan, kebimbangan dan juga keprihatinan masyarakat tentang apa sepatutnya diajar dan fokus dalam pendidikan kita. Kurikulum ini akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2027, tetapi prasekolah akan bermula lebih awal pada 2026,” katanya.

Beliau berkata KPM juga giat menyiapkan para guru dengan kerangka kurikulum baharu itu.

Terdahulu dalam syarahannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, Fadhlina berkata KPM komited meningkatkan kualiti, kesaksamaan dan akses pendidikan dengan tiada pelajar harus dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata kerajaan juga sentiasa berusaha membantu pelajar kurang berkemampuan, berkeperluan khas dan mereka yang datang mencari perlindungan di negara ini.

“Pendidikan berkualiti adalah milik semua tidak kira bangsa, agama atau politik. Suka atau tidak ini adalah fakta dan kami berbangga untuk memimpin melalui teladan,” katanya. – 2 Mei, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Songlap tuntutan HSP guna data pencarum, Perkeso jerat pengarah klinik di Lahad Datu

Penahanan suspek oleh SPRM susulan risikan dalaman Perkeso sejak 2023 yang membongkar penipuan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta

Democrats seize control of Congress in crushing midterm blow to Trump

Voters turn against Republicans over rising living costs, Iran war and corruption concerns, setting the stage for two years of political gridlock

F1 is more than racing: Why Malaysia must bring the sport back to Sepang – Zainul Arifin

Petronas’ global branding success shows how Formula 1 can deliver international exposure, strengthen corporate brands and generate economic benefits, making a compelling case for Malaysia to revive the sport at Sepang

◉ Related