◉ HEADLINES

Albert Tei mungkin saman SPRM susulan serbuan kontroversi

Peguam tekankan akauntabiliti dan ketelusan, gesa rakaman video serbuan didedahkan

5:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Usahawan Albert Tei bersama peguamnya, Mahajoth Singh, sedang menimbang langkah undang‑undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan susulan serbuan ke kediamannya bulan lalu.

Mahajoth menegaskan keutamaan mereka ketika ini ialah mempertahankan kedaulatan undang‑undang.

“Ini merupakan perkara berkepentingan awam, khususnya bagi memastikan agensi penguatkuasaan, termasuk SPRM, bertindak dalam lingkungan undang‑undang dan tidak terlibat dalam intimidasi yang tidak perlu, termasuk penggunaan atau ancaman senjata api,” katanya.

“Pada peringkat ini, fokus kami kekal kepada akauntabiliti dan ketelusan. Namun demikian, kami tidak menolak sebarang remedi undang‑undang, termasuk prosiding sivil, yang akan dilakukan pada waktunya,” tambahnya memetik laporan Malaysiakini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, agar mereka mencontohi peguam Siti Kasim dan anak guamnya yang menyaman polis dan kerajaan berhubung serbuan tidak sah pada 2018.

Kes itu menyaksikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menganugerahkan ganti rugi RM274,375 kepada Siti dan Anis Nur Izzatty Ruslan, selepas memutuskan serbuan dilakukan tanpa sebarang usaha menghubungi penghuni rumah.

Tun Faisal dalam hantaran Facebook menulis: “Akibat serbuan dan tangkapan tidak sah, Siti Kasim menang saman ganti rugi RM270,000. Agak‑agak kalau Albert Tei saman kerajaan dan SPRM, berapa dia boleh dapat ya?”

Media melaporkan pada 28 Nov, sekumpulan pegawai SPRM berpakaian taktikal lengkap dengan vest kalis peluru dan balaclava menyerbu rumah Tei di Puchong, Selangor, sebelum menggari usahawan itu dan membawanya menaiki sebuah kenderaan hitam.

Isterinya, Lee Pei Rie, mendakwa pasukan terbabit menceroboh masuk melalui pintu utama, menggari Tei dan salah seorang pegawai mengacukan senjata api ke arahnya.

Lee turut mendakwa ahli keluarga lain diarahkan berkumpul di sudut rumah, manakala telefon bimbit mereka termasuk milik anak‑anak dirampas untuk memadam video dan imej.

Polis membuka kertas siasatan susulan laporan Lee, namun Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata siasatan awal belum menemui bukti bahawa senjata api diacukan ke arah Tei.

Perkembangan itu mendorong Mahajoth mengulangi gesaannya supaya pihak berkuasa mendedahkan rakaman video serbuan bagi menjamin ketelusan. – 21 Disember, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Mahkamah benarkan rayuan Badan Peguam cabar DNAA Zahid

Panel tiga hakim memutuskan permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang remeh namun menimbulkan isu yang boleh dibicarakan yang wajar didengar pada peringkat substantif

Early start for Abang Bas in Putrajaya

When most Malaysians are getting some shut-eye before attending the National Day 2023 celebration at Dataran Putrajaya today, bus driver Mohammad Saudi Abd Sahiis is eagerly on the road to ferry passengers to the venue.

Remembering Tun Samy Vellu: a minister who listened and acted – Ravindran Raman Kutty

The writer reminisces about the late Works Minister's work ethic on what would have been his 89th birthday

◉ Related