KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 24 November bagi mendengar permohonan peguam Harith Iskander untuk menarik diri daripada mewakili pelawak dan pelakon itu berhubung saman yang difailkan Datin Seri Rosmah Mansor terhadapnya.
Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, yang mewakili Rosmah, memaklumkan kepada media bahawa pendengaran permohonan itu ditetapkan pada 2.15 petang menerusi aplikasi Zoom, ketika pengurusan kes di sini pada Jumaat, lapor media.
Kes saman itu difailkan oleh isteri bekas Perdana Menteri itu susulan dakwaan menjadi mangsa penginaan fizikal atau ‘body shaming’ dalam satu persembahan komedi pada Januari lalu.
Pengurusan kes di hadapan Hakim Arziah Mohamed Apandi itu turut dihadiri peguam Nur-Diana Ezlyn Hashim yang mewakili Rosmah, manakala Sangeet dan Harkiranjit Kaur mewakili Harith.
Pada 9 Jun lalu, Rosmah memfailkan saman terhadap pelawak dan pelakon Harith Iskander, atas dakwaan menjadi mangsa penghinaan dan body shaming dalam satu persembahan komedi di sebuah hotel di Melaka, Januari lepas.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Rosmah mendakwa defendan telah mengadakan satu persembahan komedi berdiri bertajuk Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di hotel terbabit pada 17 Januari lepas, dengan memaparkan imej dan membuat kenyataan fitnah terhadap Rosmah di hadapan sejumlah besar penonton, bagi mendapatkan reaksi ketawa serta hiburan daripada orang awam.
Rosmah mendakwa Harith Iskander telah memaparkan imej berkaitan makhluk mitologi seram dalam kepercayaan masyarakat Malaysia, sebelum memaparkan imej beliau.
“Defendan kemudian telah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud bahawa seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap, akan melihat sesuatu yang menakutkan.
Rosmah berkata kenyataan fitnah yang dibuat Harith Iskander antaranya membawa maksud Rosmah mempunyai paras rupa yang lebih menakutkan daripada makhluk seram, individu yang boleh menimbulkan ketakutan kepada orang awam serta seorang yang wajar dijadikan bahan ejekan dan penghinaan.
Oleh itu, Rosmah memohon ganti rugi am, teruk dan teladan selain perintah injunksi menghalang defendan atau pembantunya daripada menerbitkan semula dan menyebarkan kenyataan fitnah itu, serta membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah secara bertulis yang dipersetujui plaintif dalam dua akhbar arus perdana, serta di akaun media sosial yang ditentukan oleh plaintif atau peguamnya.
Sementara itu, Harith Iskander dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Julai menafikan paparan tersebut menggambarkan Rosmah adalah makhluk seram, sesuatu yang menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkan, tidak berperikemanusiaan atau apa-apa maksud fitnah yang dinyatakan plaintif.
“Penerbitan kenyataan yang didakwa fitnah di dalam Tiktok itu telah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan saya dan kenyataan tersebut tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi itu,” dakwanya. – 13 November, 2026
