◉ HEADLINES

PM mahu sistem perolehan aset tentera dirombak

Sistem perolahan mesti dirombak, tidak boleh lagi campur tangan daripada pihak luar

6:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sistem perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dirombak bagi memastikan tiada lagi pihak luar akan dapat mengaut komisen yang keterlaluan daripada proses perolehan aset. 

Beliau berkata rombakan itu harus dibuat kerana kesiapsiagaan kelengkapan aset pertahanan negara seperti kapal, pesawat dan kereta kebal  tidak selaras dan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi serta kedudukan geopolitik dan strategik Malaysia.

“Mengapa saya pilih sebut perkara ini kepada saudara sekalian kerana bagi veteran, bagi pasukan tentera dan tentunya bagi kita semua rakyat, kesiapsiagaan negara dalam bidang pertahanan itu adalah urusan yang penting.

Jadi kita anjurkan (sarankan) kepada pimpinan tentera bahawa sistem perolahan mesti dirombak, tidak boleh lagi campur tangan daripada pihak luar.

“Ketua-ketua turus dipertanggungjawabkan untuk memilih kapal perang, pesawat, kereta kebal dan kelengkapan lain yang terbaik dan tidak lagi mengulangi kerenah, merompak melalui komisen keterlaluan sehingga kelengkapan kita ini kurang keupayaan untuk medan pertahanan yang mantap,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini. 

Perdana Menteri berkata dalam menjaga kestabilan dan keamanan negara, keupayaan aset pertahanan adalah satu perkara yang tidak boleh dimungkiri (dipandang remeh), walaupun beliau pasti ada pihak yang akan meremehkan usaha kerajaan menambah peruntukan perbelanjaan bagi memperkasakan keupayaan ATM. 

“Saya ingin beritahu di sini, tanggungjawab kita ialah untuk memberikan satu gambaran dan dasar serta menetapkan dasar agar keupayaan keselamatan dan pasukan pertahanan negara lengkap dan mantap.

Jadi hentikan cara dan amalan lama. Saya tidak peduli walaupun kita disanggah (dilawan) di luar kerana kita bicara (bertegas) tentang soal tatakelola rasuah dan komisen berlebihan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata dalam pada pasukan tentera dan badan berkuasa lain bertungkus lumus menjaga keselamatan negara, adalah wajar juga untuk kemudahan asas dan kebajikan golongan berkenaan ditambah baik bagi menghargai pengorbanan yang dilakukan.

Oleh itu, sebagai Menteri Kewangan, Anwar memaklumkan beliau telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta tahun ini untuk menaik taraf kelengkapan dan rumah daif pasukan tentera, serta RM40 juta untuk perumahan polis termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

“Kalau tidak, kita minta mereka mempertahankan negara tetapi kita masih dengar kemudahan-kemudahan asas yang tidak lengkap,” kata beliau pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan. – 31 Julai, 2023

Topics

 

◉ Hangat

No plans to scrap RON95 subsidies for T20 group for now : Loke

The government has no immediate plans to remove RON95 fuel subsidies for high-income earners, with Transport Minister Anthony Loke saying the Budi95 system will remain in place as Putrajaya prioritises a simpler and more efficient subsidy mechanism

PM Term Limit Bill falls two votes short in Dewan Rakyat, sparks disappointment among Madani MPs

The proposed constitutional amendment to cap the prime minister’s tenure at 10 years failed to secure a two-thirds majority in the Dewan Rakyat, drawing sharp reactions from leaders within the Madani coalition who described the outcome as a missed opportunity for institutional reform

Next FAM chief must ‘work 100 times harder’ to drive reforms: Hamidin

Incoming Football Association of Malaysia president must go beyond football knowledge and commit to governance and structural reforms

◉ Related